Monday, May 16, 2011

PERKASA Bukan Mewakili Melayu

Adalah satu komen yang menarik yang diutarakan oleh Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri yang menyatakan amaran perang jihad ke atas masyarakat Kristian yang diistiharkan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, bukan mewakili keseluruhan Melayu di negara ini.

Hishammuddin berkata PERKASA boleh mengistiharkan perang jihad tetapi memerlukan sokongan majoriti dan ia berlandaskan agama serta bukannya emosi semata-mata.

Apa yang dikomen oleh Datuk Hishammudin itu ada benarnya. Tetapi semangat yang ditunjukkan oleh Datuk Ibrahim Ali itu lebih signifikan daripada kenyataan Datuk Hishammudin itu. Maka terpulanglah kepada orang Melayu keseluruhannya samada mahu menyokong atau menyebelahi PERKASA. Datuk Hishammudin seharusnya memberi sokongan moral kepada Datuk Ibrahim Ali kerana kedua-duanya adalah pemimpin Melayu.

Datuk Ibrahim Ali telah merintis jalan yang baik. Lagi pun PERKASA hanyalah sebuah badan NGO dan bukan badan politik.

Tahniah sekali lagi kepada Datuk Ibrahim Ali di atas semangat yang ditunjukkannya itu demi kepentingan orang Islam khasnya dan orang Melayu amnya.


Sumber: Utusan Malaysia, 16/5/2011: "Perang jihad Ibrahim terhadap Kristian - Tidak mewakili semua Melayu"

Monday, April 11, 2011

Perkasa Lantik Marzuki Sebagai Bendahari

Akhbar STAR hari ini (11/4/2011) melaporkan PERKASA telah melantik Dr Marzuki Ibrahim sebagai Bendaharinya, iaitu bagi menggantikan Datuk Shuaib Lazim.

Datuk Shuaib Lazim menjadi popular sejak kebelakangan ini kerana beliau adalah salah seorang daripada Datuk Trio atau Datuk T yang mendedahkan video seks yang dikaitkan dengan pemimpin pembangkang di negara ini.

Keputusan yang dibuat oleh PERKASA itu memang kena pada tempatnya dan logik. PERKASA sebagai badan NGO yang memperjuangkan nasib orang Melayu harusnya mempunyai kepimpinan yang menegakkan dan menjaga maruah orang Melayu, bukannya mendedahkan keaiban orang Melayu kepada seluruh dunia.

Syabas kepada PERKASA di bawah kepimpinan Datuk Ibrahim Ali. Adalah juga badan yang menjaga orang Melayu.

Monday, September 20, 2010

Perkasa Akan Tentukan Melayu Mana Akan Menang!

Adakah saudara percaya, Perkasa akan menentukan Melayu mana yang akan menang dalam pilihahraya akan datang? Melayu mana? Tentulah Melayu-UMNO, atau Melayu-Keadilan, atau Melayu-PAS.

Tapi nampaknya Melayu-UMNO siang-siang lagi telah menolak UMNO. Itu yang dikatakan oleh Tengku Adnan baru-baru ini semasa mempengerusikan satu mesyuarat BN. Satu kenyataan atau keputusan tidak strategik. Lebih mencemaskan apabila Ibrahim Ali pula mengeluarkan kenyataan yang lebih strategik--Perkasa belum bersedia memberi sokongan kepada mana-mana parti politik.

Tahniah Datuk Ibrahim Ali. Itu kenyataan beramaran Perkasa kepada mana-mana parti politik yang mahu memperlekehkan peranan NGO yang pro-Melayu. Maksud Ibrahim Ali senang je--secara logik, orang Melayu tidak harus menentang Perkasa NGO yang pro-Melayu. Sekurang-kurangnya berilah sokongan moral kepada Perkasa yang tidak menagih simpati parti-parti politik. Jangan sebutlah parti-parti politik lain yang bukan Melayu.

Buat masa ini, Melayu-Keadilan dan Melayu-Pas lebih strategis daripada Melayu-UMNO, tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memakan diri sendiri seperti Melayu-UMNO, khususnya kenyataan Tengku Adnan. Ini secara tak langsung memberi advantage kepada Keadilan dan PAS dalam arena berpolitik.

Kesimpulannya, semua parti politik yang ada orang Melayu, sokonglah perjuangan Perkasa demi kepentingan dan survival orang-orang Melayu. Perkasa tidak berniat untuk merosakkan Melayu. Jadi pesanan Dr. Mahathir supaya kita tidak menjauhkan diri daripada Perkasa adalah relevan.

Tuesday, September 14, 2010

Kenapa Memusuhi Perkasa?

Kenapa Memusuhi Perkasa?
Oleh: Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang ditubuhkan dengan hasrat mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera di dalam Perlembagaan terus dipandang serong.

Entah mengapa sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, apa sahaja yang berkaitan dengan orang Melayu akan dilihat rasis. Ertinya, seorang Melayu tidak kira siapapun tidak lagi boleh bercakap soal hak dan kedudukan mereka sebagai orang Melayu.

Kalau mereka bercakap soal itu, maka mereka dianggap rasis dan perlu dijauhi, itulah yang dialami oleh Perkasa sekarang.

Apa yang anehnya sebelum ini apabila wujudnya pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan sesuatu kaum seperti Hindraf, Siqui dan Dong Zhong tidak pula dilihat sebagai rasis.

Malahan tidak ada satu pun parti politik sama ada di dalam kerajaan mahupun pembangkang membuat kenyataan meminta pertubuhan-pertubuhan berkenaan dijauhi.

Namun yang peliknya apabila menyentuh soal Perkasa, semua parti-parti tersebut hatta UMNO sekalipun mahu menjauhinya. Semuanya kerana bimbang dituduh rasis memandangkan ia ada kaitan dengan orang Melayu.

Sebenarnya ia tidak menguntungkan orang Melayu, malahan ia akan menyemarakkan lagi semangat puak-puak tertentu untuk terus menyentuh apa yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan.

Mereka boleh berbuat demikian kerana yakin apa yang diperjuangkan oleh Perkasa tidak akan dibela oleh mana-mana parti politik Melayu sama ada UMNO mahupun Pas.

Keadaan itu berlaku kerana Perkasa dilihat sama taraf dengan Hindraf, Perkasa dianggap rasis dan Perkasa dituduh puak pelampau.

Tetapi adakah tuduhan yang sama pernah dilemparkan kepada Siqui, Dong Zhong dan Hindraf. Perkasa tidak pernah membuat tuntutan seperti mana ketiga-tiga pertubuhan berkenaan.

Tidak pernah pula sepanjang kewujudannya, Perkasa berarak ke Kedutaan Britain bagi menuntut kerajaan negara itu membayar pampasan kepada orang Melayu terhadap apa yang berlaku ketika zaman penjajahan dahulu, tetapi ia pernah dilakukan oleh Hindraf bagi kaum India, yang jelas bersifat perkauman.

Ketika itu, tidak ada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) atau pembangkang menyanggah Hindraf, Siqui atau Dong Zhong.

Malahan penulis masih ingat sebelum pilihan raya umum lalu ketika menemuramah seorang pemimpin kanan MIC, beliau meminta penulis jangan siarkan kenyataannya mengkritik Hindraf, katanya takut orang India marah.

Begitu juga MCA dan Gerakan, apakah pernah mereka membawa usul supaya BN menjauhi Siqui dan Dong Zhong? Tetapi kenapa apabila menyentuh soal Perkasa, pendirian mereka berbeza?

Apakah kerana Perkasa memperjuangkan hak Melayu dan bumiputera maka ia dilihat salah dan terlalu perkauman?

Kita jangan lupa apabila parti-parti komponen BN terutamanya Gerakan, MCA dan MIC memperoleh keputusan buruk dalam pilihan raya umum, mereka menyalahkan UMNO. Mereka kata UMNO terlalu dominan, ertinya sebuah parti Melayu disalahkan.

Sekarang mereka mencari alasan lebih awal dengan meminta supaya Perkasa yang jelas memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu di dalam Perlembagaan dijauhi. Nampaknya misi mereka berjaya.

Persoalannya, apakah ini akan menguntungkan kerajaan atau lebih tepat orang Melayu? Apakah dengan menjauhi Perkasa, ia boleh memberi jaminan bahawa komponen-komponen BN itu akan mencapai kejayaan dalam pilihan raya nanti?

Sekarang ini pun, awal-awal lagi Parti Gerakan di Pulau Pinang sudah meramalkan DAP akan terus memerintah Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, ertinya mereka sudah mengalah lebih awal. Apakah ramalan itu dibuat kerana Perkasa begitu kukuh di Pulau Pinang?

Kalau awal-awal lagi sudah mengaku kalah, tidak perlulah pucuk pimpinan BN memberi kerusi kepada Gerakan untuk bertanding, lebih baik serahkan kepada UMNO atau parti lain yang ingin berjuang habis-habisan.

Apa yang ingin disampaikan ialah jika sesebuah parti itu kalah di dalam pilihan raya, ia bukan kerana orang lain tetapi disebabkan kelemahan kepimpinan parti itu sendiri.

Jadi, janganlah cuba menjadikan Perkasa sebagai kambing hitam. Bukanlah suatu rahsia lagi bagaimana MCA, Gerakan atau MIC malahan UMNO (di sesetengah negeri) belum mampu mengembalikan keyakinan rakyat sepenuhnya.

Oleh itu, apabila Perkasa cuba dijauhi ia sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya yang akan mengalami kerugian besar ialah orang Melayu.

Perkasa bukannya parti politik, Perkasa seperti mana kata Pengerusinya, Datuk Ibrahim Ali dalam satu kenyataan kepada penulis, pertubuhan itu hanya mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kita menentang usaha mewujudkan Perlembagaan baru, Dasar Ekonomi Baru (DEB) digugat dan mempertahankan kontrak sosial, itu yang kita buat, kita tidak menentang mana-mana kaum, tetapi kenapa kami harus menjadi mangsa?," kata Ibrahim.

Justeru, jika Perkasa cuba dijauhi dan dimusuhi, maka orang Melayu akan berpecah lagi. Setelah sebelum ini, orang Melayu sudah berpecah ke dalam UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan atas pagar, kini wujud pula puak yang menyokong Perkasa.

Kesudahannya siapa yang lemah? Sudah tentu orang Melayu. Sebab itulah, sementara kita menentang sebarang perjuangan mempertahankan hak sesuatu kaum secara keterlaluan seperti dilakukan oleh Hindraf dalam masa yang sama, kita juga perlu mengelak daripada terperangkap dalam politik licik mana-mana pihak yang mahu melemahkan kuasa politik Melayu secara tersirat.

Adalah lebih baik jika Perkasa tidak dimusuhi sebaliknya diajak berbincang mengenai apa yang mereka perjuangkan. Orang Melayu tidak mendapat apa-apa faedah jika Perkasa mewujudkan sebuah lagi pakatan politik, sebaliknya hanya akan menyebabkan kuasa politik Melayu semakin berkurangan kerana perpecahan yang berlaku.

Jika ini terjadi, maka sudah pasti semakin banyak pihak yang akan 'naik tocang' dan membuat tuntutan yang bukan-bukan sehinggakan Perlembagaan negara pun mahu ditulis semula.

Ingatlah pesanan Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika mengulas mengenai isu Perkasa. Antara lain beliau berkata, "Oleh kerana kita (BN dan UMNO) memerlukan sokongan daripada seberapa ramai orang, tidak perlulah kita bermusuh dengan orang. Ia langsung tidak memberi sebarang faedah dan keuntungan."


Sumber: Utusan Malaysia, Selasa 14, September 2010

Saturday, September 11, 2010

UMNO Tidak Perlukan PERKASA, PERKASA Tidak Perlukan UMNO

Berita yang mentertawakan pembaca akhbar apabila dua kucing bergaduh di depan tuannya, pada hal pergaduhan itu tidak pun memberi kesan pun kepada saya dan ramai pembaca akhbar lain.

Apa tidaknya? Satu badan politik, satu NGO. Apa ada kena mengena?

Yang aku nampak Datuk Seri Tengku Adnan sangat cemburu dengan PERKASA kerana dikatakan PERKASA menjejaskan sokongan bukan Melayu kepada BN. Ya ke? Dan seperti biasa parti-parti komponen BN yang lain jadi pak turut, meng-ya-kan saja cakap UMNO tu.

Tapi aku tak tahu, adakah kenyataan Tengku Adnan tu mewakili BN kerana kenyataan itu bukan dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib selaku Presiden BN.

Jadi betullah kata Ibrahim Ali yang mengatakan yang PERKASA tidak memerlukan sokongan UMNO, ia hanya memerlukan sokongan ahli-ahlinya. Logik, UMNO itu politik, PERKASA itu NGO.

Tapi aku sangat sokong kenyataan Dr Mahathir iaitu UMNO perlukan PERKASA, dan UMNO jangan menjauhkan diri dengan PERKASA kerana ahli-ahli PERKASA terdiri daripada pengundi-pengundi Melayu.

Aku teringat satu pepatah asing, kalau tak silap pepatah China yang menyebut, "kalau kita nak kalahkan musuh maka hendaklah kita berbaik-baik dengan musuh."

Jadi kenyataan Tengku Adnan sebenarnya silap besar. Lupa ke slogan "rakyat diutamakan?" Adakah UMNO dan PERKASA itu bukan rakyat. Adakah mereka ini bukan penentu kejayaan BN dalam pilihan raya akan datang? Adakah dengan satu undi sahaja sudah cukup untuk BN kalah atau menang?

Sebenarnya kenyataan Tengku Adnan itu memberi "advantage" kepada PERKASA sendiri. Ini kerana secara tak langsung, BN mengakui pengaruh PERKASA dalam politik Malaysia. Dan ia juga akan menarik simpati orang ramai kepada PERKASA kerana diperlekehkan oleh UMNO.

UMNO sepatutnya berbaik-baik dan bukannya bermusuh dengan PERKASA. Gunakan kekuatan PERKASA bagi menguatkan lagi BN, bukan melemahkan UMNO dan BN.

Mungkin Tengku Adnan tidak sedar ramai pemimpin PERKASA di peringkat cawangan adalah juga pemimpin UMNO. Jadi kenyataan ini akan mengelirukan pemimpin UMNO yang menjadi pemimpin PERKASA. Cuba kita fikirkan baik-baik....

Kesimpulannya, janganlah Tengku Adnan bersikap angkuh dan membuat kenyataan yang boleh melukakan hati orang Melayu yang berada dalam UMNO dan PERKASA. Peganglah kenyataan Datuk Seri Najib: "rakyat diutamakan", bukan "diri sendiri diutamakan".

Tuesday, March 23, 2010

Pertemuan PERKASA di Bandar Tasik Selatan

Malam ini (22 hb. Mac 2010), aku dijemput menghadiri perjumpaan PERKASA di Bandar Tasik Selatan. Ia adalah anjuran PERKASA Bandar Tun Razak.

Biasalah sebelum majlis bermula, hadirin akan menekmati makan malam yang bermula pada 8:00 malam. Dan kira-kira jam 9:00 majlis bermula dengan ucapan kata-kata aluan daripada urusetia dan beberapa pemimpin PERKASA peringkat Bahagian Bandar Tun Razak

Pada malam itu majlis mendengar ucapan oleh YB Datuk Ibrahim Ali, iaitu Presiden PERKASA. Ucapan beliau dibuat selepas ucapan beberapa pemimpin PERKASA Bandar Tun Razak.

Aku difahamkan PERKASA Bandar Tun Razak adalah kawasan PERKASA yang paling aktif. Tahniah kepada pemimpin PERKASA daripada Bandar Tun Razak.

Aku berasa bangga kerana mendapat penerangan jelas mengenai PERKASA. PERKASA atau nama rasminya ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia adalah satu pertubuhan berasaskan kepada kemelayuan khususnya hak-hak dan kepentingan mengenai orang-orang Melayu.

Penubuhan PERKASA ada kaitan langsung dengan kekalahan besar Barisan Nasional pada Pilihanraya Ke-12 terutamanya kerusi-kerusi UMNO. UMNO yang selama ini dikatakan mewakili kepentingan orang Melayu sudah menjadi tidak relevan bagi menjaga kepentingan orang Melayu.

Lanjutan daripada kekalahan kerusi-kerusi UMNO...yang menunjukkan Melayu semakin lemah, puak-puak bukan Melayu sudah mula berani dan mencabar dasar dan keputusan yang melibatkan orang Melayu. Pemimpin-pemimpin UMNO sendiri hampir tidak berdaya melawan, dan sekiranya terus mempertahankan diri bagi membela orang Melayu akan melemahkan lagi kedudukan pemimpin Melayu khasnya, dan Barisan Nasional amnya.

Lanjutan daripada senario di atas, Datuk Ibrahim Ali serta rakan-rakannya telah berjaya membentuk PERKASA atau Petubuhan Pribumi Perkasa Malaysia bagi mempertabat dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu di mana keahliannya terbuka kepada semua lapisan tanpa mengira fahaman politik.

Pertubuhan ini telah didaftarkan pada bulan September 2008.

Samada Pertubuhan ini relevan dalam memperjuang, mempertahan dan meningkatkan mertabat dan hak-hak orang-orang Melayu pada masa hadapan, ia bergantung kepada orang Melayu sendiri...